JANUARI 2022

Kerajaan Sarawak Peruntuk RM2.174 Bilion Untuk Program Pendidikan


SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM2.174 bilion untuk merencana pelbagai program berkaitan pendidikan semenjak kira-kira lima tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat,  Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata,

peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan pendidikan sebagai pelaburan dalam modal insan.

“Kerajaan negeri juga tidak hanya berdiam diri atau menyerahkan tugas serta tanggungjawab menjaga hal ehwal pendidikan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Program Outreach Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) Zon Sarawak 2022 di UiTM Sarawak Kampus Samarahan, di sini.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapaee.

Roland berkata, walaupun pihaknya tahu bidang pendidikan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan terutama dari segi bajet dan dasarnya.

"Sebaliknya, kita komited untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di Sarawak kerana kita tidak mahu pelajar kita terus ketinggalan," katanya.

Penganjuran program itu bertitik tolak daripada masalah yang dihadapi pelajar semasa tempoh pandemik yang lalu.

BKPA mendapati jumlah mereka yang memohon melalui UPUOnline menurun tahun sebelumnya, khususnya pelajar yang berada di luar bandar.

Program Outreach Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) Zon Sarawak 2022 anjuran UiTM Sarawak itu bermula 13 hingga 17 Januari di lima lokasi iaitu Dewan Jubli UiTM Sarawak Kampus Samarahan, hotel (Kapit), Politeknik Mukah, Parkcity Everly Hotel (Bintulu) dan Dewan Suarah Marudi (Miri).

Gambar:

Dr Annuar Rapaee menyampaikan pelan data internet kepada pelajar UiTM  Sarawak selepas perasmian Program Outreach Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) Zon Sarawak 2022 di UiTM Sarawak  Kampus Samarahan.

Sumber dari : Jiwa Bakti